Wednesday, October 3, 2012

JAUHI RIAK !



PENYAKIT rohani yang mengancam kemurnian akidah umat Islam ialah sifat riak yang masih wujud walaupun ia dibenci Allah. Riak boleh membinasakan segala kebaikan dan pahala amal soleh seseorang itu. Sifat riak boleh dihindari dengan memperkuat dan mempertingkatkan iman sementara hati sentiasa takut akan azab dan seksaan Allah di akhirat nanti.
"Nun, demi pena dan apa-apa yang mereka tuliskan" 
Imam Al-Ghazali berkata, riak adalah mencari kedudukan pada hati manusia dengan memperlihatkan kepada mereka hal kebajikan. Imam Habib Abdullah Haddad pula berpendapat, riak ialah menuntut kedudukan atau minta dihormati orang ramai dengan amalan yang ditujukan untuk akhirat.
Paling mudah disimpulkan, riak adalah perbuatan yang semata-mata bertujuan mengharapkan sanjungan, pujian atau penghormatan orang lain. Hal ini bertentangan kehendak Islam yang menyeru umatnya beramal atau melakukan perkara kebajikan dengan hati ikhlas mengharapkan keredaan Allah.
Jika penyakit riak dibiarkan terus bersarang dalam hati seseorang, lama kelamaan ia akan membinasakan kemurnian akidah, keluhuran akhlak dan kesempurnaan amal umat Islam. Memang ada kalangan umat Islam yang melakukan sesuatu amalan kebajikan atau ibadat hanya untuk mengaburi mata orang ramai.
Mereka melakukan amalan kebajikan atau ibadat untuk menunjukkan kononnya mereka itu baik, pemurah, warak atau rajin beribadah.
Mereka lakukan perkara itu kerana didorong hawa nafsu yang sentiasa berusaha memesongkan mereka yang lemah imannya.
Rasulullah sentiasa mengingatkan umatnya supaya menjauhkan diri daripada perbuatan riak. Sabda baginda bermaksud: Awaslah kamu jangan mencampuradukkan antara taat pada Allah dengan keinginan dipuji orang (riak), nescaya gugur amalanmu (Hadis riwayat Ad-Dailami)
إِنَّ الْمُنَافِقِينَ يُخَادِعُونَ اللّهَ وَهُوَ خَادِعُهُمْ وَإِذَا قَامُواْ إِلَى الصَّلاَةِ قَامُواْ كُسَالَى يُرَآؤُونَ النَّاسَ وَلاَ يَذْكُرُونَ اللّهَ إِلاَّ قَلِيلاً
Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk salat mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riya (dengan salat) di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sedikit sekali. 
(Surah An-Nisa 4: Ayat 142) 

'Groupthink' : Sepakat Membawa Berkat


"Ada sesiapa yang tak setuju dengan cadangan ana?" Sore memancing pendapat. Semua yang hadir nyenyak dalam diam. Mesyuarat sudah hampir dua jam berlangsung.
"Diam tanda setuju, jadi kita proceed dengan agenda yang seterusnya.." sambung Sore.
Dalam diam itu sebenarnya ramai ahli yang tidak bersetuju atau kurang pasti.
Namun demi menjaga keharmonian susana, segala kritik dan saran dilepas buang, yang tinggal hanya pendapat yang terus menjadi usul tanpa tapisan atau kritikan.
'MUAFAKAT MEMBAWA BERKAT'
"Buat apa beli susu low fat nih? Susu ni membazir je beli, baik beli susu full fat lepas tu tambah air, jadi la low fat" Nisa memberi cadangan separuh arahan.
"OK, kak" jawab junior-junior serumah tanda hormat pada kakak senior.
Lebih dari itu tidak nampak logiknya pada 'arahan' yang diberi.
'HORMAT YANG TUA, SAYANG YANG MUDA'
*****
YES BOSSS!
Merujuk kedua-dua situasi di atas, baik dalam kehidupan berorganisasi formal mahupun sekadar bertunjangkan kehidupan sehari-hari di rumah, mereka tidak dapat lari daripada diserang penyakit 'Yes BOSSS!' atau dalam bahasa budaya korporatnya GROUPTHINK.
Mengikut seorang sosiologis, beliau mendefinasikan groupthink sebagai;
A mode of thinking that people engage in when they are deeply involved in acohesive in-group, when the members' strivings for unanimity override their motivation to realistically appraise alternative courses of action.
William H. Whyte
Dalam kes ini, ahli sesebuah organisasi tidak cakna dalam memberikan kritikan membina yang mungkin bertentangan dengan keputusan atau pun arahan di dalam organisasi tersebut menyebabkan kurangnya daya saing serta daya fikir inovatif.
Bilamana penyakit ini menyerang, ahli hanya berfungsi untuk meluluskan segala cadangan dalam mesyuarat, mengiakan perkara-perkara yang tidak seharusnya menjadi ikutan malah lebih teruk lagi jika penyakit ini membarah sehinggakan menjadi punca kepada menyahindividuasikan (de-individuation) peribadi ahli.
MEMUSUHI KRITIKAN
Tatkala kritikan dianggap mengancam keharmonian sesebuah organisasi, kuncup keputusan yang dicapai sebenarnya tidak didasari oleh konsep mesyuarah ataupun syura'.
Binasalah pemimipin yang menganggap dirinya hebat pabila orang bawahannnya sentiasa menanti-nantikan arahannya tanpa banyak bicara.
Jika dilihat dalam konteks bernegara, konsep groupthink mampu ditegah melalui sistem kerajaan dan pembangkang.
Di sini, peri pentingnya institusi pembangkang menyaingi gerak kerja institusi kerajaan sendiri. Tapi malangnya apabila merujuk kepada keadaan di Malaysia, insitusi pembangkang dihina serta dicerca sehingga dituduh tidak taat kepada negara hanya kerana menentang dasar kerajaan yang jelas tidak memanfaatkan rakyat.
Lebih malang lagi, peluang parti lawan menjadi pembangkang dilepas sia apabila secara rakusnya merampas kekuasaan melalui jalan belakang seperti yang berlaku di Perak.
Jauh sekali dipinggirkan, institusi pembangkang harus diperkukuhkan dengan cara membentuk kabinet bayangan dan berkempen dengan cara memperkenalkan polisi-polisi yang mampu menyaingi pihak kerajaan serta diberi peluang untuk bersuara 'on equal ground'.
DOKTRINASI
Berbalik kepada permasalahan dalam berorganisasi, seringkali sindrom groupthink ini timbul tatkala kita tersilap langkah meyerapkan fikrah dalam wajah doktrinasi ... dan ternyata, dalam proses doktrinasi tersebut bukanlah fikrah yang diterapkan, namun perkara-perkara yang bersifat luaran diberi penekanan atas sebab-sebab yang tidak diketahui.
Sindrom itik serati hidup subur dalam kekangan doktrin-doktrin senior. Mahasiswa yang analitikal sifatnya menjadi jumud serta beku pemikiran. Hanya mengikut telunjuk serta kata-kata senior tanpa mampu berfikir sendiri. Jadilah seperti kebanyakkan jemaah pak turut dan minah 'dok' ikut!
Menyedari isu groupthink bukan persoalan siapa betul atau siapa salah namun lebih kepada isu yang memerlukan penyelesaian bersama.
Langkah semudah merangsang pemikiran bedasarkan hujah dan fakta berbanding doktrinasi pemikiran mampu sedikit sebanyak menyuntik nyawa akal ahli-ahli jemaah.
Kegagalan kita untuk mengguna pakai kepelbagaian rencam fikiran dalam kalangan ahli jemaah akan menyebabkan matlamat membentuk muslim profesional tinggal kekal sebagai slogan yang sedap didengar namun mustahil untuk dicapai. Maka...
"Tidakkah kamu berakal untuk memikirkannya?" - [al-Baqarah 2: 76]