Thursday, July 2, 2015

“Ramadhan dan Pemimpin”



Ramadhan.
Ramadhan.
Ramadhan.

Inilah satu bulan yang mulia. Pada bulan ini, berbagai peristiwa telah berlaku dalam lipatan sejarah umat Islam. Inilah bulan bermula diturunkan AlQuran, sebuah kitab pedoman kepada manusia hingga akhir zaman. Inilah bulan tarbiah. Bulan pendidikan. Umat Islam di didik untuk menundukkan nafsu di dalam diri serta memaksa diri banyak beribadah.


Abang-abang,
Kakak-kakak,
sahabat-sahabat
dan adik-adik sekalian,

Dalam penulisan kali ini, penulis tertarik untuk mengaitkan kehadiran bulan Ramadhan ini dengan dua sifat seorang pemimpin. Mengapa pemimpin bukan orang biasa ? Bukankah kita semua adalah pemimpin?

Masih segar dalam ingatan penulis, ketika mana penulis pada peringkat awal berada di dalam organisasi Pustakawan. Seorang senior pimpinan maktabah ketika itu berkongsi satu sabda baginda saw. Antara lainnya bermaksud, setiap dari kita adalah pemimpin. Dan setiap kita akan dipersoalkan terhadap amanah kepimpinan masing-masing.

Boleh jadi, waktu ini kita pemimpin biro atau unit atau pemimpin sebuah jabatan. Bagi senior kita, mungkin ada yang sudah menjadi pemimpin ditempat kerja atau pemimpin sebuah rumahtangga. Paling tidak berjawatan sekalipun, kita adalah pemimpin kepada diri kita. Betul bukan? Andai kita tersalah memimpin diri nescaya haluan yang salahlah akan menjadi pilihan hidup kita.

Sifat pertama – “Mengenali anggota atau ahli dibawah pimpinan kita”

Ramadhan hadir dengan pelbagai pakej ibadah. Ada tadarus Al-Quran, ada terawih, ada moreh, ada iftor jama’ie, ada qiamullail dan banyak lagi. Sedarkah kita bahawa kebanyakan dari aktiviti di atas ini merupakan peluang untuk kita manfaatkan bersama ahli.
Buatlah aktiviti bersama ahli kita. Morehlah bersama-sama. Bertadaruslah secara berkumpulan. Untuk apa? Untuk kita meraih redha Allah. Dalam masa yang sama, gapailah peluang ini untuk lebih mengenali ahli kita. Mengenali dimana tahap ubudiyyah dia dengan Allah. Mengetahui sejauh mana penghayatan dia dengan ibadah. Mempelajari dari pengalamannya dengan Ramadhan.

“Pemimpin yang berjaya adalah pemimpin yang membawa ahlinya kepada kejayaan di dunia dan di akhirat. Itulah yang membezakan pemimpin muslim dengan bukan muslim. Kita mengharapkan akhirat bukan dunia semata-mata.”

Tugas yang kita amanahkan kepada orang bawahan kita tidak akan berjalan lancar jika hubungan kita tidak rapat. Maka perlunya kita mengenali ahli kita dengan lebih dekat supaya hubungan kita erat. Sekaligus, melancarkan segala gerakkerja.

Ikatan yang erat antara pemimpin dan ahli.


Sifat kedua – “Memberi keteladanan dan contoh”

Bagaimana mungkin seseorang pemimpin dapat mempengaruhi ahlinya dalam berbuat kebaikan jika dia sendiri belum melakukannya? Betul bukan? Setiap dari kita pastinya memimpikan ahli yang baik, berakhlak mulia, amanah dan kuat hubungannya dengan Pencipta.

Maka formulanya mudah. Kitalah yang mesti memulakan sesuatu kebaikan tersebut. Ramadhan ini datang dengan pelbagai tawaran dan ganjaran agar kita bersemangat untuk berbuat kebaikan. Justeru, wahai pemimpin sekalian, jadilah orang pertama yang bersungguh dalam membuat kebaikan di dalam bulan ini.

Buatlah kerana Allah. Pada waktu yang sama, kita akan menjadi qudwah atau teladan kepada orang dibawah pimpinan kita. Jika baik pemimpin maka baiklah rakyat sekaliannya.

Akhir tinta dari penulis yang serba kekurangan ini, marilah kita sama-sama mengambil manfaat sebanyak-banyaknya dari bulan ‘hadiah’ dari Allah ini. Bulan manakah lagi yang mahu kita nantikan selain Ramadhan? Semoga dua sifat pemimpin yang dinyatakan penulis dapat penulis dan para pembaca amalkan.

“Jika kau ditakdirkan memimpin maka jadilah pemimpin yang memimpin rakyatnya ke Syurga Ilahi. Sama-sama bekerja di dunia, berjiran pula di akhirat sana.”

Keteladanan melalui medium kepimpinan

15 Ramadhan 1436H
3 Julai 2015

Tuesday, March 3, 2015

SALAM KEJAYAAN



     Kata-kata yang begitu besar ertinya ini patut kita semat pada diri kita semua sebagai pembakar semangat juang dalam pelajaran.

Kejayaan adalah milik kita semua. Cuma, adakah kita bersungguh-sungguh untuk meraihnya atau kita masih lagi pandang sebelah mata pada kejayaan yang menanti di hadapan sana.

     Pertamanya, dalam bingkisan ringkas ini penulis jujurnya ingin menyatakan jutaan TAHNIAH kepada mantan Pengerusi Maktabah Al-Hasyimiah tahun 2007,saudara Muhammad Syarifuddin Assiddiqin Bin Adam Shukri atau lebih mesra kita kenali sebagai Abe Sopi. Tahniah kerana beliau telah pun berjaya menyandang gelaran graduan Fakulti Perubatan dari Universiti Tanta, Mesir pada tanggal 25 Februari 2015 yang lalu. Kita doakan semoga beliau terus sukses dalam perjalanan hidup yang mendatang. Aameen.

Abe Sopi bersama ahli keluarga.

            Bergambar kenangan bersama rakan sekelas arab Sudan, saudara Mu'tasim.

Abe Sopi bersama barisan sahabat seperjuangannya.

     Pembaca budiman sekalian, keduanya penulis ingin  mengambil kesempatan ini untuk berpesan kepada adik-adik pelapis Maktabah Al-Hasyimiah khususnya dan seluruh junior-junior MMPM umumnya untuk belajar dan berusaha bersungguh-sungguh. Hargailah usia muda remaja yang sangat bernilai, yang masih kalian miliki ketika ini.

     Binalah matlamat anda bermula dari sekarang. Beranilah untuk bermimpi. Atau jika anda mampu, cubalah untuk membuat satu perancangan kasar tentang 10 tahun akan datang. Contohnya, ambil sehelai kertas A4 dan tuliskan tajuk, ‘Siapa Saya 10 Tahun Lagi?’. Lalu cubalah bermimpi siapakah anda untuk 10 tahun yang bakal menjelma di dalam hidup anda. Percayalah, ini sangat membantu anda melakar jejak kerjaya hidup anda.

Sidang pembaca yang dirahmati Allah sekalian, ketiganya penulis merasa terpanggil untuk mengajak sahabat-sahabat yang sudah pun bergelar mantan Maktabah AlHasyimiah (MAH) supaya meneruskan perancangan atau impian yang telah kita semai selama ini di dalam hidup kita. Marilah kita berusaha hingga ke akhirnya. Jangan terhenti di tengah jalan. Andai ada penghalang, ayuh kita tempuhi halangan itu dan terus maju ke hadapan. Tiada yang mustahil jika Allah ingin ianya berlaku, percayalah.

       “Never give up in your live. Fight till the end. And keep focus on your goal.”

Sebagai pengakhiran cetusan minda dan hati ini, marilah kita sama-sama menjadikan kejayaan Abe Sopi sebagai satu teladan yang patut kita contohi serta jadikan ia sebagai motivasi kepada kita pula. Moga-moga kita bisa berjaya di dunia dan di akhirat. Harapan saya yang terakhir agar kita semua bersungguh-sungguh untuk menimba ilmu tanpa mengira bidang apa sekalipun yang kita ceburi. Jadilah yang terbaik dalam bidang masing-masing.

Peribahasa Melayu ada mengatakan,


“Jika tidak dipecahkan ruyung,

manakan dapat sagunya”

Sama-samalah kita renungi dan fikir-fikirkan.




2 Mac 2015
11 JamadilAwwal 1436
Ditulis oleh;
-Mantan Pengerusi MAH 2010 -