Thursday, July 2, 2015

“Ramadhan dan Pemimpin”



Ramadhan.
Ramadhan.
Ramadhan.

Inilah satu bulan yang mulia. Pada bulan ini, berbagai peristiwa telah berlaku dalam lipatan sejarah umat Islam. Inilah bulan bermula diturunkan AlQuran, sebuah kitab pedoman kepada manusia hingga akhir zaman. Inilah bulan tarbiah. Bulan pendidikan. Umat Islam di didik untuk menundukkan nafsu di dalam diri serta memaksa diri banyak beribadah.


Abang-abang,
Kakak-kakak,
sahabat-sahabat
dan adik-adik sekalian,

Dalam penulisan kali ini, penulis tertarik untuk mengaitkan kehadiran bulan Ramadhan ini dengan dua sifat seorang pemimpin. Mengapa pemimpin bukan orang biasa ? Bukankah kita semua adalah pemimpin?

Masih segar dalam ingatan penulis, ketika mana penulis pada peringkat awal berada di dalam organisasi Pustakawan. Seorang senior pimpinan maktabah ketika itu berkongsi satu sabda baginda saw. Antara lainnya bermaksud, setiap dari kita adalah pemimpin. Dan setiap kita akan dipersoalkan terhadap amanah kepimpinan masing-masing.

Boleh jadi, waktu ini kita pemimpin biro atau unit atau pemimpin sebuah jabatan. Bagi senior kita, mungkin ada yang sudah menjadi pemimpin ditempat kerja atau pemimpin sebuah rumahtangga. Paling tidak berjawatan sekalipun, kita adalah pemimpin kepada diri kita. Betul bukan? Andai kita tersalah memimpin diri nescaya haluan yang salahlah akan menjadi pilihan hidup kita.

Sifat pertama – “Mengenali anggota atau ahli dibawah pimpinan kita”

Ramadhan hadir dengan pelbagai pakej ibadah. Ada tadarus Al-Quran, ada terawih, ada moreh, ada iftor jama’ie, ada qiamullail dan banyak lagi. Sedarkah kita bahawa kebanyakan dari aktiviti di atas ini merupakan peluang untuk kita manfaatkan bersama ahli.
Buatlah aktiviti bersama ahli kita. Morehlah bersama-sama. Bertadaruslah secara berkumpulan. Untuk apa? Untuk kita meraih redha Allah. Dalam masa yang sama, gapailah peluang ini untuk lebih mengenali ahli kita. Mengenali dimana tahap ubudiyyah dia dengan Allah. Mengetahui sejauh mana penghayatan dia dengan ibadah. Mempelajari dari pengalamannya dengan Ramadhan.

“Pemimpin yang berjaya adalah pemimpin yang membawa ahlinya kepada kejayaan di dunia dan di akhirat. Itulah yang membezakan pemimpin muslim dengan bukan muslim. Kita mengharapkan akhirat bukan dunia semata-mata.”

Tugas yang kita amanahkan kepada orang bawahan kita tidak akan berjalan lancar jika hubungan kita tidak rapat. Maka perlunya kita mengenali ahli kita dengan lebih dekat supaya hubungan kita erat. Sekaligus, melancarkan segala gerakkerja.

Ikatan yang erat antara pemimpin dan ahli.


Sifat kedua – “Memberi keteladanan dan contoh”

Bagaimana mungkin seseorang pemimpin dapat mempengaruhi ahlinya dalam berbuat kebaikan jika dia sendiri belum melakukannya? Betul bukan? Setiap dari kita pastinya memimpikan ahli yang baik, berakhlak mulia, amanah dan kuat hubungannya dengan Pencipta.

Maka formulanya mudah. Kitalah yang mesti memulakan sesuatu kebaikan tersebut. Ramadhan ini datang dengan pelbagai tawaran dan ganjaran agar kita bersemangat untuk berbuat kebaikan. Justeru, wahai pemimpin sekalian, jadilah orang pertama yang bersungguh dalam membuat kebaikan di dalam bulan ini.

Buatlah kerana Allah. Pada waktu yang sama, kita akan menjadi qudwah atau teladan kepada orang dibawah pimpinan kita. Jika baik pemimpin maka baiklah rakyat sekaliannya.

Akhir tinta dari penulis yang serba kekurangan ini, marilah kita sama-sama mengambil manfaat sebanyak-banyaknya dari bulan ‘hadiah’ dari Allah ini. Bulan manakah lagi yang mahu kita nantikan selain Ramadhan? Semoga dua sifat pemimpin yang dinyatakan penulis dapat penulis dan para pembaca amalkan.

“Jika kau ditakdirkan memimpin maka jadilah pemimpin yang memimpin rakyatnya ke Syurga Ilahi. Sama-sama bekerja di dunia, berjiran pula di akhirat sana.”

Keteladanan melalui medium kepimpinan

15 Ramadhan 1436H
3 Julai 2015