Thursday, July 2, 2015

“Ramadhan dan Pemimpin”



Ramadhan.
Ramadhan.
Ramadhan.

Inilah satu bulan yang mulia. Pada bulan ini, berbagai peristiwa telah berlaku dalam lipatan sejarah umat Islam. Inilah bulan bermula diturunkan AlQuran, sebuah kitab pedoman kepada manusia hingga akhir zaman. Inilah bulan tarbiah. Bulan pendidikan. Umat Islam di didik untuk menundukkan nafsu di dalam diri serta memaksa diri banyak beribadah.


Abang-abang,
Kakak-kakak,
sahabat-sahabat
dan adik-adik sekalian,

Dalam penulisan kali ini, penulis tertarik untuk mengaitkan kehadiran bulan Ramadhan ini dengan dua sifat seorang pemimpin. Mengapa pemimpin bukan orang biasa ? Bukankah kita semua adalah pemimpin?

Masih segar dalam ingatan penulis, ketika mana penulis pada peringkat awal berada di dalam organisasi Pustakawan. Seorang senior pimpinan maktabah ketika itu berkongsi satu sabda baginda saw. Antara lainnya bermaksud, setiap dari kita adalah pemimpin. Dan setiap kita akan dipersoalkan terhadap amanah kepimpinan masing-masing.

Boleh jadi, waktu ini kita pemimpin biro atau unit atau pemimpin sebuah jabatan. Bagi senior kita, mungkin ada yang sudah menjadi pemimpin ditempat kerja atau pemimpin sebuah rumahtangga. Paling tidak berjawatan sekalipun, kita adalah pemimpin kepada diri kita. Betul bukan? Andai kita tersalah memimpin diri nescaya haluan yang salahlah akan menjadi pilihan hidup kita.

Sifat pertama – “Mengenali anggota atau ahli dibawah pimpinan kita”

Ramadhan hadir dengan pelbagai pakej ibadah. Ada tadarus Al-Quran, ada terawih, ada moreh, ada iftor jama’ie, ada qiamullail dan banyak lagi. Sedarkah kita bahawa kebanyakan dari aktiviti di atas ini merupakan peluang untuk kita manfaatkan bersama ahli.
Buatlah aktiviti bersama ahli kita. Morehlah bersama-sama. Bertadaruslah secara berkumpulan. Untuk apa? Untuk kita meraih redha Allah. Dalam masa yang sama, gapailah peluang ini untuk lebih mengenali ahli kita. Mengenali dimana tahap ubudiyyah dia dengan Allah. Mengetahui sejauh mana penghayatan dia dengan ibadah. Mempelajari dari pengalamannya dengan Ramadhan.

“Pemimpin yang berjaya adalah pemimpin yang membawa ahlinya kepada kejayaan di dunia dan di akhirat. Itulah yang membezakan pemimpin muslim dengan bukan muslim. Kita mengharapkan akhirat bukan dunia semata-mata.”

Tugas yang kita amanahkan kepada orang bawahan kita tidak akan berjalan lancar jika hubungan kita tidak rapat. Maka perlunya kita mengenali ahli kita dengan lebih dekat supaya hubungan kita erat. Sekaligus, melancarkan segala gerakkerja.

Ikatan yang erat antara pemimpin dan ahli.


Sifat kedua – “Memberi keteladanan dan contoh”

Bagaimana mungkin seseorang pemimpin dapat mempengaruhi ahlinya dalam berbuat kebaikan jika dia sendiri belum melakukannya? Betul bukan? Setiap dari kita pastinya memimpikan ahli yang baik, berakhlak mulia, amanah dan kuat hubungannya dengan Pencipta.

Maka formulanya mudah. Kitalah yang mesti memulakan sesuatu kebaikan tersebut. Ramadhan ini datang dengan pelbagai tawaran dan ganjaran agar kita bersemangat untuk berbuat kebaikan. Justeru, wahai pemimpin sekalian, jadilah orang pertama yang bersungguh dalam membuat kebaikan di dalam bulan ini.

Buatlah kerana Allah. Pada waktu yang sama, kita akan menjadi qudwah atau teladan kepada orang dibawah pimpinan kita. Jika baik pemimpin maka baiklah rakyat sekaliannya.

Akhir tinta dari penulis yang serba kekurangan ini, marilah kita sama-sama mengambil manfaat sebanyak-banyaknya dari bulan ‘hadiah’ dari Allah ini. Bulan manakah lagi yang mahu kita nantikan selain Ramadhan? Semoga dua sifat pemimpin yang dinyatakan penulis dapat penulis dan para pembaca amalkan.

“Jika kau ditakdirkan memimpin maka jadilah pemimpin yang memimpin rakyatnya ke Syurga Ilahi. Sama-sama bekerja di dunia, berjiran pula di akhirat sana.”

Keteladanan melalui medium kepimpinan

15 Ramadhan 1436H
3 Julai 2015

Tuesday, March 3, 2015

SALAM KEJAYAAN



     Kata-kata yang begitu besar ertinya ini patut kita semat pada diri kita semua sebagai pembakar semangat juang dalam pelajaran.

Kejayaan adalah milik kita semua. Cuma, adakah kita bersungguh-sungguh untuk meraihnya atau kita masih lagi pandang sebelah mata pada kejayaan yang menanti di hadapan sana.

     Pertamanya, dalam bingkisan ringkas ini penulis jujurnya ingin menyatakan jutaan TAHNIAH kepada mantan Pengerusi Maktabah Al-Hasyimiah tahun 2007,saudara Muhammad Syarifuddin Assiddiqin Bin Adam Shukri atau lebih mesra kita kenali sebagai Abe Sopi. Tahniah kerana beliau telah pun berjaya menyandang gelaran graduan Fakulti Perubatan dari Universiti Tanta, Mesir pada tanggal 25 Februari 2015 yang lalu. Kita doakan semoga beliau terus sukses dalam perjalanan hidup yang mendatang. Aameen.

Abe Sopi bersama ahli keluarga.

            Bergambar kenangan bersama rakan sekelas arab Sudan, saudara Mu'tasim.

Abe Sopi bersama barisan sahabat seperjuangannya.

     Pembaca budiman sekalian, keduanya penulis ingin  mengambil kesempatan ini untuk berpesan kepada adik-adik pelapis Maktabah Al-Hasyimiah khususnya dan seluruh junior-junior MMPM umumnya untuk belajar dan berusaha bersungguh-sungguh. Hargailah usia muda remaja yang sangat bernilai, yang masih kalian miliki ketika ini.

     Binalah matlamat anda bermula dari sekarang. Beranilah untuk bermimpi. Atau jika anda mampu, cubalah untuk membuat satu perancangan kasar tentang 10 tahun akan datang. Contohnya, ambil sehelai kertas A4 dan tuliskan tajuk, ‘Siapa Saya 10 Tahun Lagi?’. Lalu cubalah bermimpi siapakah anda untuk 10 tahun yang bakal menjelma di dalam hidup anda. Percayalah, ini sangat membantu anda melakar jejak kerjaya hidup anda.

Sidang pembaca yang dirahmati Allah sekalian, ketiganya penulis merasa terpanggil untuk mengajak sahabat-sahabat yang sudah pun bergelar mantan Maktabah AlHasyimiah (MAH) supaya meneruskan perancangan atau impian yang telah kita semai selama ini di dalam hidup kita. Marilah kita berusaha hingga ke akhirnya. Jangan terhenti di tengah jalan. Andai ada penghalang, ayuh kita tempuhi halangan itu dan terus maju ke hadapan. Tiada yang mustahil jika Allah ingin ianya berlaku, percayalah.

       “Never give up in your live. Fight till the end. And keep focus on your goal.”

Sebagai pengakhiran cetusan minda dan hati ini, marilah kita sama-sama menjadikan kejayaan Abe Sopi sebagai satu teladan yang patut kita contohi serta jadikan ia sebagai motivasi kepada kita pula. Moga-moga kita bisa berjaya di dunia dan di akhirat. Harapan saya yang terakhir agar kita semua bersungguh-sungguh untuk menimba ilmu tanpa mengira bidang apa sekalipun yang kita ceburi. Jadilah yang terbaik dalam bidang masing-masing.

Peribahasa Melayu ada mengatakan,


“Jika tidak dipecahkan ruyung,

manakan dapat sagunya”

Sama-samalah kita renungi dan fikir-fikirkan.




2 Mac 2015
11 JamadilAwwal 1436
Ditulis oleh;
-Mantan Pengerusi MAH 2010 -

Sunday, September 21, 2014

LG BERSAMA MANTAN MAKTABAH AL-HASYIMIAH


LG BERSAMA MANTAN MAKTABAH AL-HASYIMIAH



     Syukur kepada Allah swt kerana telah mengurniakan kami kesempatan waktu dan peluang untuk bertemu mata bersama adik-adik pelapis organisasi perpustakaan sekolah Maahad Muhammadi Pasir Mas di dalam bulan Ramadan yang lepas.

     Tanggal 22 Julai 2014 pada hari Selasa, satu perjumpaan di antara beberapa mantan yang hadir bersama semua pustakawan lelaki telah berlangsung dengan jayanya.



     Perjumpaan yang di adakan dalam majlis LG atau Librarian Group itu di adakan dalam sebuah kelas dibawah bilik perpustakaan sekolah. LG adalah merupakan aktiviti unik MAH bertujuan untuk membina jatidiri dan kepimpinan ahli serta merupakan wadah untuk ahli MAH mengeratkan lagi tali persaudaraan Islam.

     LG bukanlah yang aktiviti baru kerana sejak zaman berzaman perjumpaan bersama ahli memang akan di adakan. Sebagai contoh zaman kepimpinan Abe Sopi(2007),Abe Muaz (2008) dan Abe Nik Muhammad menjadi pengerusi MAH,perjumpaan sedemikian memang wujud. Bahkan ia diteruskan pula oleh generasi selepas itu.

     Bermula pada tahun 2010, perjumpaan di antara ahli maktabah dijenamakan oleh para pimpinan ketika itu sebagai LG. Sebagai memudahkan sebutan dalam kalangan ahli serta menjadikan ia sebagai satu titik kebersamaan. Berkongsi bersama ahli satu identity yang sama dan unik.

     LG baru-baru ini yang di anjurkan oleh Pengerusi MAH sekarang, saudara Zarith Amzar(2014) telah menjemput mantan untuk hadir bersama bagi berkongsi ilmu dan pengalaman.

     LG yang dihadiri  18 orang ahli MAH itu turut dihadiri mantan-mantan muslimin iaitu saudara Omar (pengerusi 2010), Adam (timbalan pengerusi 2010), Syarifuddin (Bendahari 2010), Luqman(Ketua BAM 2010) dan Afifi(pengerusi 2011). Kehadiran mantan-mantan telah menceriakan lagi perjumpaan kali ini.

     LG pada tanggal tersebut dimulakan dengan sesi taaruf ringkas dari semua hadirin yang hadir. Bertujuan untuk saling mengenali antara para senior dan junior.

Kata orang dalam perjuangan kita perlu mengambil
semangat para pemuda(orang baru), dan
mempelajari hikmah orang tua(orang berpengalaman).

Saudara Luqman sedang memperkenal dirinya kepada hadirin.

      Dalam kesempatan itu, saudara Omar telah berkongsi beberapa perkara antaranya; soal memanfaatkan bulan Ramadan yang penuh dengan kelebihan dan soal akademik. Beliau memberikan beberapa tips ‘Bagaimana mahu Berjaya dalam pelajaran’ ?

Antaranya ialah :

1. Mempunyai matlamat atau target yang jelas. Matlamat yang mahu dicapai mestilah dibuat agar perjalanan kita terarah. Matlamat itu perlu ditulis agar kita tidak lupa dan sentiasa peka. Matlamat yang ditulis perlu ditampal agar kita dapat selalu membacanya.




2. Mesti rajin. Kerana Allah Maha Adil. Siapa yang berusaha lebih pastinya mendapat lebih. Mestilah rajin menuntut ilmu dan rajin bertanya jika kita tidak faham atau tahu tentang pelajaran kita.



3 – Perkasakan faktor pembantu dalam menggapai kejayaan. Mendirikan solat dhuha agar murah rezeki. Kefahaman ilmu dan kejayaan adalah rezeki. Sentiasa berselawat kepada baginda Rasullah saw. Membantu atau memenuhi hajat saudara kita kerana orang yang memenuhi hajat orang lain akan dipenuhi hajatnya nanti oleh Allah swt.


     Usai  sesi pengisian, penulis bersama hadirin mengambil beberapa gambar kenang-kenangan. Kata orang masa yang lepas tidak akan kembali tetapi kenangan yang lalu pasti di ingati.

Saudara Adam sedang menyusun barisan untuk bergambar.

“Mana Syarifuddin dan Luqman ni ? Mari-mari, kita bergambar seketika.” Kata Afifi dengan penuh santun dan berbudi bahasa.

Ingatan yang pastinya akan mengusik perasaan kita nanti.


     Semoga kepimpinan Maktabah pada tahun ini Berjaya membawa bahtera Maktabah AlHasyimiah dengan jayanya serta Berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan SPM pada tahun ini. InsyaAllah.

Zarith Amzar dan Azriddin sedang berbual-bual bersama seorang mantan.

Menyumbanglah dengan apa sahaja untuk umat ini agar masyarakat yang berilmu dan bertamadun dapat kita bina suatu hari nanti.

Sunday, July 13, 2014

Ghazzah, nahnu ma3ak!



Ghazzah, nahnu ma3ak!
“Gaza, kami bersama kamu!”

Formula mudah. Palestin tanah Islam. Islam adalah kita. Palestin milik kita.
Nah, itu sudah cukup sebenarnya untuk membuatkan kita sedar bahawa yang dizalimi oleh zionis Israel laknatullah itu adalah saudara kita. Saudara satu syahadah dengan kita.
Ketika umat Islam di dunia tengah menjalani ibadat puasa dengan bahagianya, dengan bazaar Ramadhannya, dengan kuih muihnya, berbeza pula keadaannya dengan saudara Palestin di sana yang terus bermandikan darah. Takutkah mereka? Sakitkah mereka? Ya. Namun, sedihkah mereka, apabila sahur mereka di dunia, dan iftar di syurga?

Apa isunya?
 Secara ringkasnya, sekali lagi, konflik Israel-Palestin menggegarkan dunia dimana Israel zionis terus-menerus menyerang Gaza. Sekali lagi bumi Palestin berdarah, anak-anak kecil menjadi mangsa, saudara-saudara Islam menjadi target penembak mereka. Zalim! Eh, tidak pelik, itulah tentera zionis! Namun kali ini, saudara kita di sana memilih untuk tidak berdiam diri. Mereka dengan diketuai Briged Al-Qassam melakukan serang balas terhadap Israel melalui roket buatan sendiri, melalui udara, darat mahupun laut! Ya, sudah tentu yang hebat itu JUNDULLAH! Tentera Allah.

Kita?
Jika JUNDULLLAH bersatu untuk memastikan tentera zionis tersungkur ke tanah, kita juga mampu bersatu untuk menyebarkan dan berdoa.

Boikot.
Sebar.
Doa.
Mudah, bukan?

1 )      Boikot
Membantukah boikot? Ok, saya cuba bagi contoh. Andai Uncle Ah Meng  yang menjual pau di tepi jalan membuli adik kalian, mencaci adik kalian, adakah kalian masih akan memilih pau dia?
“Pergi je, pau dia sedap.”
Meh nak sekeh!
Bukanlah barang itu yang kita nak boikot, tapi tindakannya. Percayalah, andai anda tidak membantah, maksud lainnya adalah anda menyokong!
Mulakanlah dengan mencari di lawan sesawang mahupan facebook mengenai produk-produk keluaran mereka. Klik google sekarang.

2 )      Sebarkan
Andai mereka mampu menyebarkan video-video mencaci Rasulullah kita, kita juga mampu menyebarkan betapa kejinya tindakan kejam mereka terhadap saudara kita. Umat perlu tahu! Kenapa? Kerana mereka saudara kita. Mungkin cakna ini merupakan salah satu asas pembentukan ukhuwwah Islam yang kuat.
Ingatlah sabda Nabi,
"Barangsiapa tidak mengambil berat tentang saudaranya sesama Islam, mereka bukan termasuk dalam kalangan kami."

3 )      Doa
Andai roket tiada disisi kita, andai menembak bukanlah kepakaran kita, gunakanlah doa. Itu senjata kita. Kekuatan doa jangan sesekali dipandang ringan. Angkatlah tanganmu, wahai saudaraku, dan, mulakanlah,

 "Ya Allah, sesungguhnya kami letakkan Engkau di batang leher musuh-musuh kami, dan kami berlindung denganMU dari kejahatan mereka. Ya Allah, hancur leburkanlah kumpulan-kumpulan mereka! Kacau-bilaukan persatuan mereka! Cerai-beraikan pakatan mereka! Goncangkan pendirian mereka! Hantarkan ke atas mereka anjing-anjing Kamu! Wahai Tuhan Yang Gagah Perkasa, Wahai Tuhan Yang Bersifat Murka, Wahai Tuhan Yang Maha Menyiksa, Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah. Wahai Tuhan yang menurunkan Al-Quran, wahai Tuhan yang menggerakkan awanan, wahai Tuhan yang menewaskan bala tentera Ahzab, kalahkanlah mereka, menangkanlah kami ke atas mereka...”

Qunut nazilah.

Wahai saudara Palestin, kami bersamamu.
Moga Allah juga menguatkan tali ikatan kita untuk membantu menaikkkan Islam, suatu masa nanti.

#prayforGAZA

Sunday, June 29, 2014

CERPEN : MINGGU BERSAMA MAKTABAH (MBM)

27 Jun 2014

Barisan MT dan EXCO MAH 2010

Rupanya  empat  tahun sudah berlalu namun ingatan itu masih ada. Segar di balik susunan memori. Aku masih tidak lupa pada tahun 2010 tatkala kami di tingkatan lima. Kami telah di amanahkan oleh para senior 2009 untuk  terus memimpin bahtera organisasi Maktabah Al-Hasyimiah. Berbekalkan sedikit ilmu tentang pengurusan dan perancangan organisasi, kami sama-sama mengorak langkah dan bertatih meneruskan legasi para senior.

Sesuatu yang membawa manfaat kepada ummah semestinya diteruskan. Walau pun tahun 2010 juga merupakan tahun yang penting buat kami kerana pada penghujung tahun itu kami akan berhadapan dengan SPM. Namun kami percaya, jika kami berjaya membawa bahtera ini dengan jayanya, pasti ia akan menjadi nilai tambah buat diri kami. Nilai tambah itulah nanti yang akan kami bawa ke dunia universiti yang jauh lebih mencabar. Bahkan, kami mahu nilai tambah itu tertanam kukuh di dalam diri setiap dari kami.

 Jujurnya semalam aku baru sahaja selesai menduduki kertas peperikasaan terakhir untuk tahun 3. Justeru, waktu ku begitu lapang hari ini. Aku membuka folder gambar yang disimpan. Sejenak aku terkenang pada satu program yang pernah pimpinan zaman kami adakan dulu. Program maktabah yang diberi nama “Minggu Bersama Maktabah”. Singkatannya kami panggil  MBM.MBM diadakan selama seminggu. Bertujuan menarik seramai mungkin para pelajar sekolah kami untuk bersama dengan maktabah. Bersama dalam program-program anjuran maktabah dan memakmurkan maktabah sekolah dengan semeriahnya.

Sebagaimana biasanya, kami terlebih dahulu telah bermesyuarat bersama semua pimpinan MAH. Bermula dari mesyuarat kami bersama-sama melontarkan idea-idea aktiviti yang menarik yang boleh dijalankan sepanjang minggu tersebut. Setiap idea kemudiannya di analisa dan di kaji baik dan buruknya. Semua ahli mesyuarat yang hadir diberikan peluang seluasnya untuk berbicara tentang setiap idea. Kemudian barulah kami berjaya mendapatkan hasil mesyuarat yang baik. Syukur pada Tuhan kerana semua pimpinan pada saat itu sangat proaktif.

 Usai bermesyuarat, kami susuli dengan perancangan yang sebaiknya. Agar MBM menjadi minggu yang meriah dengan program-program maktabah. Dari perancangan itulah baru kami mula bertindak dan melakukan gerakkerja yang ditugaskan.  Dalam minggu itu jualah kami berusaha menghidupkan suasana ilmiah di dalam kawasan sekolah. Sesuai dengan  Visi yang telah kami sepakati bersama di awal sesi pentadbiran.

Menjadikan  Maktabah  Al-Hasyimiah Pemangkin Suasana  Ilmu Dalam Merealisasikan Generasi Yang Cemerlang Pada Tahun 2016.”

Alhamdulillah MBM berjalan  dengan lancar berkat pertolongan semua pimpinan dan Ajk maktabah. Di akhir minggu MBM, sesi penyampai hadiah telah  di adakan bagi menghargai para pelajar yang memenangi pertandingan sepanjang MBM berlangsung. 

Selamat Berjuang Sahabatku
Semoga Allah Berkatimu
Kenangan Indah Bersamamu
Takkan Ku Biar Ia Berlalu
Berjuanglah Hingga ke Akhirnya
Dan Ingatlah Semua Ikrar kita

Nasyid Selamat Berjuang bergema di headphone yang ku pakai saat ini. Buka sahaja blog um mah organization progress, terus nasyid itu dimainkan. Cukup menyentuh hati ku. Menarik ku lari ke dunia kenangan bersama sahabat-sahabat ku dahulu. Rasyid yang sedari tadi memerhatikan gelagat aku menghampiri dan memegang bahuku. Di kampus dialah teman rapat satu rumah yang selalu menasihati aku .

“Semanis mana pun kenangan kita atau sepahit mana pun  ia. Kita tidak boleh terus berada di dalam dunia ‘kenangan’ ni. Kita mesti sedar dengan realiti semasa. Dunia  sering berubah, maka diri kita juga mesti berubah. Teruskan lah melangkah ke hadapan. Sekali-sekala tu takpalah kalau nak mengimbau memori sebab itukan sebahagian dari sejarah kehidupan kita. Cuma jangan sampai terlupa pada tanggungjawab yang sedang di amanahkan kepada kita.”

Aku mendongak kepala dan berpaling ke kiri. Senyuman ku berikan pada sang teman.
“Betul tu Rasyid apa yang kau sampaikan. Terima kasih atas ingatan.”
“Jom bersiap, malam ini ada kelas Tafaquh Fiddeen, kau kan ajk unit tafaquh”
Aku menutup folder gambar-gambar program maktabah yang ku simpan. Laptop kemudiannya di setkan pada mode hibernate . Aku berlalu pergi demi meneruskan langkah para pejuang kerana kita adalah mata rantai perjuangan Islam. Dimana sahaja kita di campak, disitulah kita meneruskan perjuangan orang terdahulu. 





Di tulis oleh : Zainuddin
27 Jun 2014.

Tuesday, March 18, 2014

Apa itu Katalog ??

                                           
               
 Ku pandang kiri kanan
Buku-buku berteraburan
Aku mulai resah
Memikirkan soal maktabah.

Usah resah
Buanglah gelisah
Carilah ketenangan
Kerna pasti  ada jalan.

Mukaddimah

Realitinya mesti ramai yang tertanya-tanya apa sebenarnya katalog itu ? Kebanyakan daripada pustakawan biasanya sudah tahu tentang katalog, tapi ada juga segelintir yang tidak tahu dan tidak pernah mahu ambil tahu berkenaan katalog. Mungkin hanya ahli Biro Katalog dan Pengkelasan sahaja yang tahu. Justeru, dalam tulisan ini penulis mahu berkongsi sedikit berkenaan katalog.
Katalog  sebenarnya  adalah satu sistem yang di gunapakai  di perpustakaan untuk memudahkan pustakawan ataupun pengguna untuk mencari bahan-bahan bacaan yang terdapat di sesebuah perpustakaan tersebut. Jadi, kalau ada sistem katalog ini, maka mudahlah  adik-adik sebagai pustakawan untuk menjalankan gerakkerja adik-adik  semua. Sistem katalog yang banyak digunakan di perpustakaan di negara kita ialah OPAC iaitu singkatan kepada ‘Online Public Access Catalog’. Sebagai contoh, Perpustakaan Hamzah Sendut USM dan perpustakaan universiti-universiti lain juga menggunakan sistem OPAC untuk memudahkan para pelajar mencari buku-buku dan bahan bacaan yang dikehendaki.
    
                                                



Sistem Katalog Yang Biasa Kita Gunakan; Sistem Dewey
                Namun begitu, sistem OPAC ini tidak begitu sesuai digunakan di perpustakaan sekolah. Oleh itu, sistem yang biasanya digunakan di sekolah-sekolah ialah sistem DEWEY. Dewey ialah system pengelasan bahan2 perpustakaan yang menggunakan sepuluh kelas pengetahuan utama, antaranya karya am, falsafah & psikologi, agama, bahasa, dan sains kemasyarakatan.
Maktabah sekolah kita juga menggunakan system Dewey. Walau bagaimanapun, sistem  katalog dan pengkelasan yang ada dan sedang dipraktikkan di maktabah kita masih tidak tersusun dan teratur. Untuk mengetahui tentang cara-cara  mengendalikan sistem Dewey dengan betul, adik-adik boleh mengadakan lawatan ke Perpustakaan Negeri untuk belajar dan mengetahui dengan lebih tepat kaedah-kaedah utk mengkatalog buku dan bahan-bahan bacaan yg lain dengan betul dan bersistematik.
                                                       
                                

Tarikan Sebuah Maktabah           
Untuk pengetahuan adik sekalian, sistem pengkatalogan dan pengkelasan buku yang sistematik dan strategic  sangat penting sekali dalam sesebuah maktabah. Tahukah  kenapa ?  Sebab sekiranya susunan buku dan bacaan di maktabah adalah tersusun secara strategik dan sistematik, maka mudahlah para pelajar dan juga pustakawan itu sendiri mencari buku-buku dan bahan bacaan yang dikehendaki.
Justeru, salah satu rahsia tarikan pelajar untuk ke maktabah adalah sistem katalog yang sistematik. Oleh itu, adik-adik haruslah berusaha untuk memperbaiki dan menambahbaik sistem pengkatalogan yang ada di maktabah kita,  Maktabah Al-Hasyimiah.  Selain itu, untuk menarik lebih ramai pelajar ke maktabah, adik-adik juga boleh menambah dan mempelbagaikan lagi koleksi bahan bacaan am yang mula membanjiri kedai-kedai buku Negara kita atau buku-buku rujukan dengan silibus terbaru di maktabah kita. Tambahan pula, adik-adik juga boleh menceriakan lagi maktabah dengan pelbagai idea yg menarik dan mantap. Dan itu semestinya tugas biro Kecerian.             
  
                                                   
Harapan Kami
                Semoga adik-adik dapat memperbaiki kelemahan dan kekurangan pada pengamalan  sistem katalog dan pengkelasan yangg ada di maktabah kita. Ya, bukan mudah untuk menjadikan maktabah sekolah kita berdiri gah dan bersistematik seperti maktabah-maktabah sekolah lain yang lebih mewah dari segi kemudahan, bahan rujukan, dan sebagainya.
Namun, insyaAllah dengan sistem pengkatalogan yang lebih sistematik dan strategik, akan berjaya menarik lebih ramai pelajar untuk mengunjungi maktabah kita. Adik-adik biro katalog terutamanya boleh bekerjasama dengan biro-biro lain seperti biro Pinjaman dan Pemulangan untuk memperbaiki sistem pengkatalogan yang ada sekarang. Seperti yang disarankan tadi, adik-adik boleh mengadakan lawatan Dewey ke perpustakaan negeri. Percayalah masih belum terlambat untuk berbuat demikian. Bukankah sekarang kita masih berada di awal tahun lagi kan ?
“Jasa kita dalam memperkasakan sistem penyusunan buku yang sistematik dalam maktabah kita bukanlah suatu yang sia-sia andai kita mendasarinya dengan keikhlasan. Setiap orang yang beroleh manfaat dan keselesaan dari jasa kita ini pastinya akan membuahkan kita ganjaran pahala di akhirat kelak kerana berbuat baik kepada manusia.”

 Di sini disertakan bersama link untuk mengetahui serba sikit tentang Dewey :
http://ipislam.edu.my/kplir/su_sin-perpustakaan/kertas%20kerja%20katalog.htm



Monday, November 4, 2013

New Arrival



Rak ini khusus untuk diletakkan buku-buku yang baharu ada diperpustakaan. Samada buku yang disumbangkan atau baru dibeli. Dalam tempoh 3 bulan,kita akan meletakkan buku-buku baru  di rak pameran khas itu.

Lokasi yang paling strategik ialah berdekatan dengan kaunter dan berhadapan dengan pintu masuk. Lokasi yang strategik sangat penting untuk kita mempromosikan sesuatu barangan, dalam konteks maktabah, barangan promosi kita ialah buku-buku.

Hasilnya ?

1 - Kita dapat mempromosikan buku baru kepada para pelajar.
2 - Menggalakkan pelajar meminjam buku.
3 - Menarik minat pelajar untuk membaca.


#Idea ini diperolehi semasa lawatan ke Perpustakaan Dar Nur Az Zahra’. Cuma dikembangkan sedikit  dengan huraian penulis#